"Bersyukur ke hadrat Illahi dengan izin-Nya,saya berjaya menamatkan keseluruhan proses latihan industri dengan sempurna dan jayanya pada tempoh yang telah ditetapkan dari 1 Disember 2014 sehingga 17 April 2015

    "Sepanjang tempoh itu,saya telah menjalani sesi latihan industri di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian,Ipoh,Perak.Saya telah ditempatkan di bahagian Khidmat Pengurusan selama sebulan dan dipindahkan ke bahagian Teknologi Maklumat.

             "Latihan Industri adalah merupakan salah satu komponen utama dalam ko-kurikulum pembelajaran di Politeknik. Lulus latihan industri adalah salah satu syarat wajib bagi setiap pelajar politeknik sebelum ianya layak diperakukan untuk penganugerahan sijil atau diploma politeknik. Latihan industri ini juga berkuatkuasa pada semester ketiga bagi pelajar – pelajar yang mengambil kursus peringkat sijil dan semester keempat pula bagi pelajar – pelajar yang mengambil kursus peringkat diploma. Justeru itu, latihan industri ini akan dijalankan selama enam bulan atau pun selama satu semester. 

                 Selain itu,sebenarnya para pelajar juga diberikan kebebasan untuk membuat pilihan sama ada ingin menjalani latihan industri di jabatan kerajaan mahupun di firma swasta mengikut kehendak masing-masing.Namun begitu ianya juga perlulah bersesuaian dengan kursus yang diambil oleh pelajar di Politeknik Balik Pulau, kerana ianya adalah suatu perkara yang amat penting bagi seseorang pelajar tersebut agar mereka tidak perlu membazir masa dan tenaga bagi suatu pekerjaan yang tiada kaitan dalam bidang yang mereka ceburi semasa di politeknik. Tetapi jika sudah tiada pilihan terpaksalah kita akur dengan pekerjaan yang kita perolehi semasa menjalani latihan industri tersebut dengan redha dan tabah.

                    Setiap pelajar akan ditempatkan di jabatan kerajaan atau firma swasta pilihan mereka sendiri selama satu semester untuk mendedahkan mereka kepada suasana bekerja yang sebenar. Oleh itu, kita dapat lihat perbezaan di antara suasana semasa alam pekerjaan dengan situasi semasa di dalam dewan kuliah adalah amat berbeza sekali.

                    Hal ini kerana, latihan industri ini adalah merupakan salah satu peluang untuk para pelajar mempelajari sesuatu yang baru dan ianya tidak terdapat di dalam dewan kuliah semata – mata. Oleh yang sedemikian, latihan industri ini amatlah penting dan berguna untuk para pelajar bagi memperolehi pengalaman baru dan ianya juga dapat membentuk sahsiah diri yang baik serta dapat mendisiplinkan diri menjadi seorang yang bertanggungjawab ,berdisplin dan mendengar arahan mengikut waktu dan keadaan.

                     Justeru itu, segala ilmu dan pengalaman yang telah diperolehi semasa latihan industri inilah yang akan membantu semasa melangkah ke alam pekerjaan yang sebenar nanti. Dengan adanya latihan industri inilah saya dapat melalui dan memperolehi pendedahan terhadap situasi alam pekerjaan yang sebenar iaitu berbeza dengan alam persekitaran sewaktu di dalam dewan kuliah tersebut.


                   Setiap masa yang dipenuhi semasa latihan industri ini mestilah dimanfaatkan sepenuhnya dengan sebaik mungkin. Kita haruslah bijak mengatur langkah dan masa yang ada agar kita tidak kerugian di kemudian hari kelak. Dengan tidak hanya melakukan kerja – kerja yang sama setiap hari, pelajar juga perlulah bijak mencari sebarang kerja yang berlainan untuk dilakukan setiap masa. Ini adalah merupakan salah satu cabaran untuk para pelajar dalam latihan industri. Ini secara langsung dapat menerbitkan komunikasi di antara pelajar dengan staf - staf di syarikat tersebut. 

                Secara keseluruhannya,saya merasakan latihan industri ini dapat mengajar saya bagaimana untuk berkomunikasi dengan orang luar secara formal kerana umumnya pelajar banyak berkomunikasi dengan para pensyarah dan rakan sekuliah sahaja.Saya juga banyak terdedah dengan pelbagai perkara baharu yang berada di luar bidang yang saya pelajari di Politeknik.Justeru itu, komunikasi dan perkara baharu yang dipelajari semasa latihan industri amatlah berguna kepada saya agar dapat saya praktikkan apabila berhadapan dengan suasana pekerjaan kelak.

                Selain itu juga,saya merasakan sesi latihan industri ini dapat membantu saya dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi semasa menjalankan tugas yang telah diberikan.Ketika mengalami tugas yang sukar,pada waktu beginilah dapat dilihat bagaimana daya usaha yang dapat dilakukan.Contohnya,pelajar dapat berfikir dan berkongsi pendapat bersama – sama staf dalam mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi tersebut. Secara tidak langsung,melalui latihan industri ini juga ianya dapat dijadikan pengalaman baru dan pengajaran yang berguna kepada saya apabila memulakan langkah ke alam pekerjaan sebenar kelak.

              Oleh yang demikian,saya merasakan latihan industri ini amatlah penting kepada para pelajar untuk meningkatkan prestasi diri dan menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan. Disamping itu, melalui latihan industri ini juga para pelajar dapat menimba pengalaman baru dan dapat merasai sendiri suasana alam pekerjaan yang sebenar.

                Kesimpulannya,dapat merasai pengalaman sebagai pelajar praktikal latihan industri saya rasa bertuah dan merasakan pengalaman sebegini tidak merugikan kerana banyak perkara baharu yang sedikit sebanyak dapat saya pelajari.Dengan adanya latihan industri ini sedikit sebanyak dapat memberikan semangat kepada para pelajar untuk terus belajar dan memperolehi kelulusan yang cemerlang kemudian seterusnya mendapatkan pekerjaan yang bagus tidak kiralah samada pekerjaan tersebut di jabatan kerajaan mahu pun di firma swasta.





No comments:

Post a Comment